Saturday, September 25, 2010

Isu Gabung Puasa Sunat & Qadha

Bicara Hati :: ♥ HeRWaNa HeRMan ♥ On 1:00 AM




Oleh:

Zaharuddin Abd Rahman




Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :


Tidak elok untuk menggabungkan kedua²nya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain²) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.


Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.



Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-


1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan² pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain².


2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.


3. Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua² puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut:

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.


Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)


5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).


6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.


7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith


"Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)




Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang dicadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).


Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.


Kesimpulan


Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini: Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.



*Tambahan

  • (Mazhab Syafie)
Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qadha.
Imam as-Syafie di dalam kitab muktabarnya al-Umm ketika mensyarahkan bab 'Innamal a'malu binniat' (setiap amalan dengan niat) menyebut hendaklah dibezakan ibadah puasa ramadhan, puasa nazar, puasa kafarat, puasa qadha' dan puasa tatawwu' (sunat).

  • Imam Jalaluddin as Syuyuti di dalam kitab al Isybah juga berpendapat demikian hendaklah diasingkan puasa Ramadhan, atau nazar atau puasa sunnat.

  • MANAKALA jawapan [Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 10/383] dalam masalah ini seperti berikut:

"Alhamdulillah. Tidak ada salahnya berpuasa Isnin-Khamis untuk mengqadha' puasa Ramadhan yang tertinggal, dengan syarat puasa dilakukan dengan niat mengqadha puasa...... Mudah²an (moga²) anda mendapat 2 ganjaran sekali, ganjaran melakukan Qadha' dan ganjaran melakukan puasa sunat, dan fadhilat yang Allah berikan itu luas. Walaupun jika anda hanya mendapat ganjaran mengqadha' puasa, ia adalah memadai, kerana mengqadha' puasa adalah lebih mustahak dari melakukan puasa sunat. Akan tetapi jika kamu berniat melakukan puasa sunat dan tidak berniat melakukan qadha', maka kamu masih belum lagi memenuhi tuntutan kefarduan. Maka masih lagi wajib melakukan qadha' puasa Ramadhan. Wa Allahu 'alam dan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw dan keluarganya."


  • AKAN TETAPI,
Jika terdapat masa yang sangat pendek (takut tertinggal peluang menunaikan puasa 6), berbanding dengan puasa qadha' yang banyak; seperti didalam kes wanita yang panjang haidhnya, dibenarkan melakukan puasa enam hari di dalam bulan Syawwal, dan kemudian mengqadha'nya sebelum menjelang Ramadhan yang akan datang. Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan ini merupakan pandangan yang lebih kepada kebenaran. [Sharh al-Mumthi' 6/448].
  • Berkenaan persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu BERTURUT² SELEPAS HARI RAYA ATAU TIDAK?

Jawapan Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi dalam persoalan ini seperti berikut:


“Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah² dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).

Wallahualam.

Saturday, September 18, 2010

Raya AidilFitri 2010

Bicara Hati :: ♥ HeRWaNa HeRMan ♥ On 12:46 PM

Catatan 18 September 2010

Alhamdulillah, kita masih diberi nikmat Islam dan Iman bagi meneruskan hidup di bumi yang fana ini. Kita juga masih diberi kesempatan untuk menghirup oxigen di dunia milik Allah sepenuhnya. Sungguh bongkak kiranya jika kita tidak mahu mengucapkan bersyukur apatah lagi memohon keampunan atas dosa2 kita yang lalu kepada Allah Yang Maha Pengampun. Astagfirullah al-azim…


Pagi ini, kita digemparkan dengan pemergian seorang pelakon dan pelawak iaitu Mohd Rajoli Mohamed Zin atau lebih dikenali dengan nama M Rajoli. Arwah merupakan antara pelakon lama yang diminati kerana mempunyai versatil tersendiri dalam membawa watak yang diberikan dalam lakonan. Sesungguhnya Allah lebih menyayanginya. Al-Fatihah. Mari sama-sama kita hayati talkin yang dibaca oleh arwah semasa hayatnya disebuah lakonan dalam filem Esok Untuk Siapa






Tujuan utama menulis blog hari ini adalah untuk berkongsi pengalaman yang dilalui sempena menyambut raya baru-baru ini. Alhamdulillah, kehadiran Syawal kali ini dalam disambut bersama keluarga tercinta setelah beraya di perantauan selama 2 tahun iaitu tahun 2008 (KENANGAN RAYA 2008) dan 2009 (KENANGAN RAYA 2009). Pada mulanya hajat dihati tidak ingin balik beraya atas faktor kesempitan kewangan tetapi memandang tekanan yang melampau dialami sejak buka sem 5 yang lalu dan beberapa masalah lain saya mengambil keputusan seminggu sebelum cuti bermula iaitu 25 Ogos 2010 untuk pulang ke Labuan. Faham-faham saja la kalau beli tiket flight lewat maknanya harga pun boleh tahan.


Saya akur dengan keputusan last minute yang telah dibuat walaupun selepas cuti raya saya perlu berjimat sehabis mungkin dan cuti semester akan datang perlu bekerja membantu mak cik menjual kuih di Rawang. Ahh... Iu masih dalam perancangan.


Berbalik pada cerita asal, saya bertolak ke LCCT pada 2 September 2010 pada 5.30 petang menaiki bas starcoach. Sebelum bertolak balik saya membantu group saya menyiapkan assignment EDU yang perlu dihantar keesokan hari. Memandangkan roomate saya ingin menghantar ke Stesen Bas Tanjung Malim, saya langsung tidak menghubungi mana-mana prebet untuk mengambil saya di kolej. Pendekkan cerita usai kami menunaikan solat asar berjemaah saya bersiap untuk ke stesen bas. Ditakdirkan hujan turun renyai2 dan jam pula menunjukkan hampir 5.30 petang. Kak Yani berkai-kali menelefon bertanya di mana saya berada. Memandangkan hujan saya tidak berhajat untuk dihantar tapi my roomate berkeras juga untuk menghantar, saya menerima pelawaan kerana detik2 untuk bas bertolak juga semakin hampir.


Subhanallah, Allah memberi ujian kepada kami tatkala belum sampai di traffic light di persimpangan depan Kedai Mamak hujan turun dengan lebatnya sehingga pakaian yang dipakai basah kuyup. Kerisauan menerpa " Adakah fiza selesa untuk menunggang motosikal dengan hujan yang sangat lebat dengan beg besar di bakul motosikal". Saya ingin menyuruh fiza berhenti di mana-mana kawasan teduh memandangkan meneruskan perjalanan bakal mengancam keselamatan tapi lidah terkelu dengan kebaikan dan kesungguhan untuk menghantar aku ke stesen bas. Dalam kelebatan hujan, air mata mengalir apatah lagi semasa berhanti di traffic light kami terserempak seorang sahabat yang berada dalam kereta hanya melihat sahaja. Berbaik sangkalah wana, dia tidak tahu situasi yang kamu lalui ketika itu.


Akhirnya kami sampai ke stesen bas dengan baju dan beg basah kuyup. Aku menyalami sahabatku mengucapkan terima kasih dan memohon maaf atas segala kesilapan. Ya Allah, baiknya fiza. Itu saja dapat saya katakan sambil menuju ke bas yang sepatutnya dinaiki. Aku merupakan penumpang terakhir yang ditunggu. Jam 5.45 bas bergerak menuju ke KL. Dalam bas aku kesejukan dan masih terbayang2 peristiwa yang dilalui sebentar tadi. SYUKRAN JAZILAN YA UKHTI. Hanya Allah dapat membalas segala kebaikanmu kepadaku. AKU AMAT BERHUTANG BUDI.




Ya Allah.. Sahabatku buah hatiku, mesra kami penawar duka, rindu kami menambah cinta, rajuk kami membuah ceria...

Ya Allah... Silaturrahim kami ukhwah fillah, bermusuh kami nauzubillah.. Berpisah mati InsyaAllah, pengubat hati doa Rabitah..

Ya Allah... Rahmati kami meniti usia, terpisah kami di alam nyata, temukan semula di taman Syurga...

Semalaman bermalam di LCCT bersama Kak Yani dan housemate mengurangkan rasa kebosanan apatah lagi orang sabah boleh dicop suka bercerita dan ketawa. Keesokan paginya kami berpisah memandang mereka akan ke Sandakan dan saya berlepas ke Labuan. Kali ini aku mendapat seat 1 dalam penerbangan menaiki Airasia. Sebaik sahaja flight berlepas aku pun mula tidur dan tersedar semula apabila mendengar pramugari berkata "Kita telah selamat tiba di Lapangan Terbang Labuan. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. Semoga kita dapat berjumpa lagi."





Dalam hati nanti 14 September 2010 jumpa lagi. Saya segera ke tempat tuntutan bagasi untuk mengambil beg dan seterusnya berjumpa dengan keluarga yang dirindui.


Alhamdulillah, Allah beri peluang aku berpuasa bersama keluarga di rumah dimana biasanya berpuasa di BuMI UPSI. Berbuka dan bersahur di rumah merupakan saat saya paling suka memandangkan dapat makan bersama di samping mengutip keberkatan Ramadhan yang ada. Mak selalu berkata,"Time kecil2 ni la dapat makan bersama, esok2 semua dah berkeluarga tinggal mak ayah saja bersahur dan berbuka bersama itupun kalau masih hidup."


Sedikit kekok untuk bersahur di Labuan memandang 3.30 pg perlu bangun dah untuk menyiapkan makanan sahur. Siap masak dan bangunkan semua adik2, 4.10 pg kami akan mula bersahur. Waktu subuh di Labuan masuk pada jam 4.50 pg dan aku biasanya hanya sempat melakukan solat sunat 2 rakaat sebelum azan subuh berkumandang. Ya Allah, betapa kerdilnya diri ini kerana tidak bisa mengutip pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadhan yang lalu.


Tapi paling gembira bila berbuka puasa sebab jam 6.20 dah azan maghrib. Kadang kala tersenyum sendiri membaca sms sahabat yang tinggal di semnjg apabila mereka hntr SELAMAT BERBUKA PUASA sedangkan waktu itu tengah tunggu azan Isya'.


Kepuasan berada di rumah dan sangat seronok kurasa mungkin kerana setiap masa banyak perkara yang kulakukan dari A hingga Z. Terpancar kegembiraan di wajah ibuku memandangkan sedikit beban tugasnya telah aku selesaikan. Tidak dapat dinafikan kulihat raut wajah ibuku semakin cengkung di samping badan yang semakin susut kerana terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan. Aku dan Hera di U, Ayu sibuk kursus menjahit, Selpi sibuk tuisyen sbb nak PMR, 2 org budak lelaki tu pemalas, yang lain masih kecil. Pernah aku berkata pada ibuku, " Suruh sj bdk2 kecil tu bt ba mak, kalau tidak smpi bila2 pun nda tau buat tu."


Teringat ketika aku masih di sekolah rendah time itu adik-adikku dilahirkan dan ketika masih dalam darjah 6 (tahun 2001) aku telah mempunyai 8 orang adik-beradik. Alhamdulillah itulah rezeki diberikan Allah dan sejak itulah aku berazam untuk belajar bersungguh-sungguh untuk membela nasib keluarga kelak. Kisah semasa aku di sekolah rendah akan menyusul pada entry akan datang.


Pejam celik pejam celik, akhirnya Syawal menjelma. Sudah menjadi kebiasaan kami sekeluarga untuk solat sunat hari raya bersama-sama dan tidak pernah ditinggalkan kecuali uzur. Jam 6.45 pagi kami brtolak menuju ke Masjid Jamek An-Nur dan ayahku terpaksa membuat 2 trip memandangkan semua anak-anaknya meningkat dewasa. Satu kereta hanya berada di tempat parkir kerana tiada yang pandai memandu selain ayah.


Usai sahaja solat, terasa amat sebak dan sayu bila mendakap tubuh ibu yang kucintai. Terlama rasanya tidak merasai detik ini. Ampun maaf kupohon pada ibuku atas segala kesilapan dilakukan dan menghalalkan segala makan dan minumku sejak dilahirkan hingga kini.


Kami sama-sama mendengar khutbah Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Jamek An-Nur tentang adab-adab menyambut hari raya.


Kami berangkat pulang ke rumah setelah khutbah habis.





Makanan hari raya di rumah tiada yang berbeza dari Raya sebelumnya cuma ibu membuat Soto Makkasar. Yummm….Yummmm… Sedap….


Sampai sini saja rasanya perkongsian Raya Aidilfitri 2010 bersama keluargaku sayang.


QS Al Isra-24
I Luv My MOM and DAD

Friday, September 17, 2010

Dah Hari Jumaat ka??

Bicara Hati :: ♥ HeRWaNa HeRMan ♥ On 8:39 AM


Bila tiba hari Jumaat apa yang anda fikirkan???

1. Kalau musim kuliah pasti akan ada yang berkata "Yes... Esok dah Sabtu, boleh tidur puas-puas."

2. Kalau musim cuti pula pasti akan ada yang berkata "Alahai... Sekejapnya cuti, Isnin dah nak mula kuliah."


Tapi adakah kita semua pernah terfikir dan berkata bila tiba Hari Jumaat "Ya Allah... Hari ini Jumaat, Kiamat akan berlaku hari Jumaat."


Mesti tidakkan.

Utk renungan bersama



Pada hari Jumaat Allah meletakkan kelebihan yg tidak terhingga. Hari Jumaat merupakan hari yg paling istimewa utk Nabi Muhammad SAW dan umatnya, kerana pd hari ni tersimpan keutamaan, fadhilat dan hikmah. Pd hari ini terciptanya nabi Adam, turunnya ke bumi serta hari dimana wafatnya baginda. Pd hari Jumaat juga akan terjadinya kiamat.

Dari petikan ayat & hadis utk renungan…..


Allah merahsiakan terjadinya hari kiamat, dan menerangkan bahwa kiamat akan datang secara tiba-tiba. “Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: ‘Bilakah terjadinya?’ Katakanlah: ‘Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru-haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba.’ Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: ‘Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui’.” (Al-A’raaf: 187)


Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).


Dlm hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.

Bagaimana???

Apa yang anda fikirkan???


Sekiranya diteliti, lagi merisaukan adalah banyak peristiwa besar yang telah dan akan berlaku hari Jumaat.

Jumaat Yang Berperistiwa
27-11-2009 Jumaat Hari Raya AidilAdha
18-12-2009 Jumaat Tahun Baru Hijrah
25-12-2009 Jumaat Sambutan Krismas
01-01-2010 Jumaat Gerhana Bulan
01-01-2010 Jumaat Tahun Baru Masihi
15-01-2010 Jumaat Gerhana Matahari
26-02-2010 Jumaat Sambutan Maulud NABI SAW
02-04-2010 Jumaat Matinya Yesus Kristus
28-06-2010 Jumaat Hari Wesak
27-08-2010 Jumaat Nuzul Al-Quran
10-09-2010 Jumaat Hari Raya AidilFitri
05-11-2010 Jumaat Sambutan Depavali

Oleh itu, marilah sama-sama kita memanfaatkanlah kehadiran hari Jumaat dengan melakukan perkara berfaedah serta berdoa, beristigfar memohon keampunan dan keredhaan daripada ALLAH SWT..

Image of Dzikir Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...