Photobucket

Monday, October 19, 2009

TaMaN TaSIK TaIPING

Bicara Hati :: ♥ HeRWaNa HeRMan ♥ On 2:08 PM 2 comments

SEMUANYA masih sama, seakan tidak pernah tua. Pokok angsana yang merimbun rendang masih menjadi penghuni setia di tebing tasik. Apa yang ada hanya deretan bangku lama yang masih terpelihara.

Jika begitu, apa istimewanya Taman Tasik Taiping? Hanya yang pernah ke sini saja dapat menjawab nostalgia taman tasik tertua di Semenanjung yang dibuka pada 1880 ini.

Landskap semula jadi tasik berlatar belakangkan Gunung Hijau mewujudkan 'mood' romantis di sini. Keheningan taman ini seolah-olah mewakili kehidupan bandar yang pernah menjadi ibu negeri Perak ini.

Pernah menjadi 'lombong emas hitam' apabila bijih timah dijumpai di sini, ia kemudian berkembang maju dengan pelbagai infrastruktur yang dibina British untuk memudahkan perdagangan bahan komoditi itu.

Di bandar ini, laluan kereta api pertama dibuka antara Taiping dan Port Weld pada 1885, diikuti Muzium Perak pada 1883 dan padang golf pertama di Semenanjung yang dibuka di Taman Tasik Taiping pada 1885.

Taiping juga dikenali antara kawasan yang mendapat taburan hujan terbanyak iaitu kira-kira 4,000 milimeter setahun. Ini menjadikan kawasan peranginan tanah tinggi di Bukit Larut amat nyaman terutama selepas hujan.

Selain panorama taman tasiknya, Zoo Taiping menjadi tarikan utama di sini dengan lebih 700,000 pengunjung setiap tahun. Sementara itu, kira-kira 90,000 lagi mengunjungi safari malam yang dimulakan pada 2003.

Penghuninya yang mesra pengunjung terutama 'chimpanzi' bernama Pudding dan Hassan, beruang manja atau merakamkan gambar dengan ular sawa milik Hussine Daztagir.

Menjelajah bandar ini seolah-olah mengimbau kembali sejarah awal Tanah Melayu. Bandar berusia lebih 133 tahun ini menjadi 'kediaman' kepada penjenayah yang ditahan di penjara pertama negara di Penjara Taiping.

Kedai roti pertama turut dibuka di sini pada 1882. Mengikut penduduk tempatan, roti yang dijual kepada masyarakat setempat turut dibekalkan kepada banduan di Penjara Taiping.

Pengaruh kuasa penjajah turut menyebabkan kegilaan sukan kriket. Ini seterusnya menjadi titik tolak kepada penganjuran pertandingan kriket pertama pada 1881.

Ada 57 rekod pertama dicatatkan di bandar warisan. Ada yang masih dipertikaikan tetapi ia dapat tidak menafikan kepentingan Taiping dalam sejarah awal pembentukan Malaysia.


SEJARAH TAIPING
-----------------
Asalnya, British bertumpu ke sini kerana kekayaan lombong bijih timahnya, yang dijumpai pada 1840-an oleh seorang pemuda tempatan bernama Long Ja'afar ketika sibuk mandi jeram di Larut, Perak.

Dia kemudian membawa masuk sekumpulan pelombong Cina dari Pulau Pinang untuk membantu kerja melombong di Klian Pauh.

Kumpulan ini adalah ahli kepada Hai San, 'kumpulan rahsia' Cina dari Pulau Pinang dan diketuai Chung Keng Kooi. Tidak lama kemudian, sekumpulan pelombong lain dikenali sebagai Ghee Hin berhijrah ke kawasan berdekatan dikenali sebagai Klian Baru.

Asalnya, longgokan bijih timah dijumpai di kolam lumpur bekas tapak kaki gajah.

Pada 1861, pergaduhan tercetus antara pelombong di Klian Pauh dan Klian Baru berikutan kawalan terhadap kawasan lombong.

Ngah Ibrahim, yang menggantikan bapanya, Long Ja'afar pada 1857, melantik Kapten Speedy dan askar India untuk mematahkan beberapa siri peperangan dalam Perang Larut.

Hanya apabila fasa sejarah ini selesai, Taiping yang bermakna 'ketenangan abadi' dalam Bahasa Cina, mula diduduki oleh Hai San. Satu lagi bandar baru, Kamunting muncul sebagai tempat tinggal pesaing mereka.

Taiping menjadi ibu negeri Perak sehingga meletusnya Perang Dunia II. Selepas itu, ia berpindah ke Ipoh selepas kekalahan tentera Jepun.

Bandar ini juga mencatat sejarah manis dalam pengangkutan udara negara. Di sini, presiden pertama dan bekas naib presiden Indonesia, Sukarno dan Mohd Hatta, mendarat pada 1945 untuk mengadakan rundingan kemerdekaan Tanah Melayu dan Indonesia.

Kedua tokoh itu mengunjungi bandar ini untuk bertemu Dr Burhanuddin al-Helmi dan Ibrahim Yaacob, pemimpin Kesatuan Semenanjung Indonesia, untuk membincangkan kemerdekaan bersama kedua negara.

Tetapi, idea itu tidak mendapat persetujuan British dan Indonesia seterusnya mencapai kemerdekaan tidak lama selepas peristiwa itu.

Antara rekod pertama Taiping:
-----------------------------
Lombong bijih timah terbuka di semenanjung (1844)

Kolam renang-Kolam Renang Kemahkotaan (1870)

Gudang senjata dan meriam (1870)

Mahkamah majistret (1874)

Balai penghulu (1875)

Port Weld (1877)

Pasukan polis (1879)

Kediaman Residen (1879)

Pusat peranginan tanah tinggi - Maxwell Hill (1884)

Rest house (1894)

Masjid - Masjid Tengku Menteri (1897)

Pejabat kerajaan (1879)

Pejabat pos dan telegraf (1880)

Taman tasik - Taman Tasik Taiping (1881)

Hospital swasta dan kerajaan (1880)

Kelab - New Club (1881)

Stesen kereta api dan gudang (1881)

Bangunan pasar - Taiping Market Square (1884)

Muzium - Muzium Perak (1883)

Penjara - Penjara Taiping (1879)

Trek kereta api - dari Port Weld ke Taiping (1885)

Kelab lumba kuda - Perak Turf Club (1886)

Gereja Anglican - All Saints Church, Taiping (1886)

Sekolah Inggeris - King Edward VII School (1883)

Menara jam - Menara Jam Besar (1881)

Esplanade - Padang Esplanade (1890)

Akhbar Melayu - Seri Perak (Jun 1893)

Akhbar Inggeris - Perak Pioneer (4 Julai, 1894)

Akhbar Tamil - Perak Verthamani (1894)

Pasukan tentera - Malay States Guides (1896)

Untuk ke sini
------------
TAIPING terletak berdekatan dengan Lebuhraya Utara Selatan (Plus), 88 km dari Pulau Pinang, 80 km dari Ipoh dan 302 km dari Kuala Lumpur. Melalui lebuh raya, perjalanan mengambil masa sejam untuk ke Ipoh. Ada banyak perkhidmatan menuju ke bandar ini dari ibu kota. Selain kereta api, bandar ini juga dihubungkan dengan Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia yang terbang ke Ipoh dan Pulau Pinang.

2 123 Bingkisan Sahabat:

bila akak nak sy bw pi sana?
cakap sj bila, insyaAllah boelh..
tp sediakan perbelanjaan..hehehehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...